-SESIAPA YANG BERMINAT UNTUK MENDAPATKAN BAHAGIAN DALAM KORBAN DAN AQIQAH PADA TAHUN INI,SILA CONTACT UST YUSNI,PENGERUSI UMMAH PRIHATIN MALAYSIA-0194500660
KORBAN DEMI SEBUAH KEHIDUPAN DI KEMBOJA&FILIPINA
Posted in Uncategorized
Peserta Bersih berhak dikalungkan wira negara
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib berkata, peserta himpunan aman Bersih 2.0 semalam berhak dikalungkan wira negara.
“Saya mewakili Dewan Ulamak PAS Pusat ingin merakamkan ucapan syabas yang tidak terhingga kepada seluruh peserta Bersih yang hadir di Kuala Lumpur pada hari semalam,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Katanya, mereka berhak untuk dikalungkan sebagai wira negara kerana sanggup menghadirkan diri ke himpunan tersebut walaupun berhadapan dengan pelbagai halangan dan rintangan.
“Kepada mereka yang bersabar dan ikhlas kepada Allah SWT terhadap segala rintangan yang dihadapi, ganjaran pahala anda Insya Allah akan tersimpan rapi di sisi Allah SWT. Segalanya pasti akan terbalas di hari akhirat kelak,” ujarnya.
Dewan Ulamak PAS Pusat juga, tegasnya yakin bahawa seluruh pendukung PAS dan Bersih tidak akan serik sama sekali untuk meneruskan perjuangan yang mulia itu.
Menurutnya, mereka pasti akan terus dahagakan ganjaran dan keredhaan Allah SWT.
Beliau juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Baharudin Ahmad yang telah dikebumikan pagi tadi.
“Dewan Ulamak PAS senantiasa mendoakan agar Allahyarham Baharudin dihimpun dan ditempatkan dengan golongan para syuhada’.
“Kepada keluarga Allahyarham, kami ingin memberitahu bahawa Allah SWT pasti akan menganugerahkan ganjaran yang besar kepada hamba-Nya yang beriman apatah lagi telah membuktikannya melalui perbuatan, perkataan dan pendirian,” ujarnya.
Sumber:Harakahdaily
Posted in Uncategorized
Anggota Unit Amal Pulau Pinang dikerah sertai Bersih 2.0
Oleh:Harakah Daily
PERMATANG PAUH, 24 Jun: Seluruh anggota Jabatan Unit Amal Negeri Pulau Pinang akan dikerahkan untuk turun padang beramai-ramai bagi menjayakan himpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini. Ketuanya, Yusni Mat Piah, ketika dihubungi berkata, Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, akan memastikan seluruh jentera Unit Amal terlibat secara langsung bagi memastikan perjalanan himpunan tersebut dalam keadaan aman tanpa provokasi mana-mana pihak.
“Kita merencanakan himpunan ini adalah himpunan aman, tiada senjata dan tiada provokasi. Kita hanya ingin menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, mengenai hasrat sebenar rakyat yang inginkan pilihan raya yang bersih.
“Sekiranya ada provokasi, ia bukanlah dari pihak kita yang telah lama bersiap sedia untuk melaksanakan tuntutan tersebut,” katanya.
Oleh kerana itu, katanya pihak berkuasa seperti polis, mestilah memantau dan memberi kerjasama menjaga keamanan supaya himpunan itu berjalan dengan baik. Beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Pusat, turut menyeru semua golongan masyarakat yang cintakan keadilan dan ketelusan dalam pilihan raya, supaya turun padang bersama-sama bagi menjayakan himpunan itu. “Apa yang kita lakukan adalah menurut lunas undang-undang yang ada.
Kita menyuarakan hasrat terpendam kepada kerajaan sebagai rakyat dalam sebuah negara yang melaksanakan sistem demokrasi. “Demokrasi ini haruslah disokong secara total oleh polis dan pihak berkuasa. Jangan ada demokrasi terpilih atau ‘double-standard’ dalam membuat justifikasi atau pilihan,” tambahnya lagi.
sumber- http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/3987-anggota-unit-amal-pp-dikerah-sertai-bersih-20
Posted in Uncategorized
UMNO-GPMS-DPMPP Bacul Berdepan Pemuda Pakatan !
Sebagaimana yang telah dijadualkan hari ini 07 Mac 2010, di tapak Ekspo Seberang Jaya, Seberang Perai tepat jam 8.45 malam majlis ‘DEBAT PERDANA RAKYAT 2010’ yang dianjurkan oleh Sekretariat Muafakat Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah dimulakan. Pengerusi majlis telah meminta kesemua yang hadir untuk mendengar perdebatan yang akan dilangsungkan itu masuk memenuhi dewan. Dimulakan dengan lafaz Bismillah majlis dimulakan dan Pengerusi Majlis secara rasminya menyerahkan majlis kepada Moderator yang di bawa khas dari Selangor iaitu Tuan Haji Mohd Suhaimi Ahmad seorang usahawan yang tidak menyertai dan memihak kepada mana-mana parti politik. Selaku Moderator Tuan Haji Mohd Suhaimi telah menjemput pendebat-pendebat dari Pakatan Rakyat ,UMNO, GPMS dan juga dari DPMM Pulau Pinang.
Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah diwakili oleh Ustaz Yusni Mat Piah dari PAS, YB Rayar dari DAP dan PKR diwakili oleh Saudara Hazri Abu Bakar naik kepentas. Yang dicabar mereka iaitu Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang Norman Zahalan, Rizal Faris Mohideen Yang DiPertua DPMM Pulau Pinang dan Jais Abdul Karim Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung masih tidak kelihatan. Setelah melakukan panggilan kali kedua ketiga-tiga mereka yang dicabar itu masih lagi belum kelihatan, atas dasar perikemanusiaan kerana memikirkan mungkin mereka masih sibuk mengumpul banyak data-data yang membuktikan Melayu dan Islam di Pulau Pinang ditindas dibawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang, Moderator telah memberikan masa tambahan 15 minit lagi kepada mereka untuk muncul diatas pentas. Ribuan hadirin yang hadir mulai gelisah, kerana mereka telah datang untuk mendengar sendiri hujah-hujah yang beserta dengan fakta yang mengatakan bahawa Melayu dan Islam di Pulau Pinang ditindas dibawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.
Namun begitu setelah 15 minit masa tambahan diberi berlalu… mereka tetap tidak muncul termasuk Jais Abdul Karim Presiden Gabungan Pelajar Melayu yang telah menyatakan kesediaannya untuk hadir. Inikah sikap sebenar Pejuang dan Pembela nasib Melayu dan Islam Pulau Pinang? Takut untuk berhadapan dengan rakyat yang kononnya dibela oleh mereka. Takut untuk mempertahankan hujah mereka selama ini. Peribahasa ada mengatakan ‘Berani kerana benar, Takut kerana salah’. Jadi kalau mereka merasakan diri mereka benar mereka pasti muncul diatas pentas yang disediakan.. nyatalah juga kini kenyataan-kenyataan yang mereka keluarkan hanyalah hujah-hujah kosong yang tiada sokongan sebarang data hanya auta semata-mata. Hujah-hujah kosong yang dikeluarkan dengan niat untuk memburuk-burukkan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang telah dipilih oleh rakyat.. Apakah kita perlu Pejuang Bangsa seperti ini? Pejuang Bangsa yang yang hanya berani berbicara dihadapan media yang dikuasai mereka tetapi takut untuk berhadapan dengan bangsa yang kononnya diperjuangkan mereka. Perlukah kita ada Pejuang Bangsa seperti ini? Kalau bangsa yang diperjuangkan mereka sendiri mereka takut untuk menghadapinya.. perlukah mereka mengaku bahawa mereka itu pejuang bangsa ? Nyatalah kini sikap mereka itu umpama ayam jantan yang kokoknya berderai-derai tapi ekornya bergelumang najis…
Posted in Uncategorized
Pemuda PR Pulau Pinang Cabar UMNO,GPMS&DPMPP Debat
PULAU PINANG, 22 Feb – Pemuda Pakatan Rakyat membidas Umno kerana menabur memfitnah kononnya kerajaan negeri Pakatan Rakyat menindas orang Melayu serta meminggirkan Islam padahal selama 50 tahun memerintah parti itulah sebenarnya yang mengamalkan diskriminasi dan penindasan terhadap rakyat.
Bagi memberi penjelasan dan kedudukan sebenar isu yang dibangkitkan Umno kepada rakyat satu Debat Perdana Rakyat akan dianjurkan oleh Sekretariat Muafakat Pemuda Pakatan Rakyat bertajuk “Isu Melayu-Islam Pulau Pinang: Antara Provokasi dan Kebenaran” pada 7 Mac di tapak Expo Seberang Jaya.
Hari ini wakil Pemuda Pakatan Rakyat menyampaikan surat jemputan kepada Ketua Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang Norman Zahlan dan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang Rizal Faris Mohideen.
Delegasi terdiri daripada Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang Amir Ghazali, Setiausaha AMK Syed Mikael Rizal Aidid, Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Yusni Mat Piah dan Ketua Pemuda Sosialis DAP Pulau Pinang Yeoh Soon Hin.
Syed Mikael berkata media cetak dan elektronik milik Umno dan Barisan Nasional sejak kebelakangan ini sering melaporkan kononnya kerajaan negeri Pulau Pinang menindas golongan Bumiputera di negeri itu.
Ketua Menteri Lim Guan Eng bagaimanapun menyangkal dakwaan tidak berasas itu dan mencabar Umno supaya tampil dengan bukti.
“Bagi memberi maklumat yang tepat dan merungkai semua tuduhan yang tidak berasas itu debat adalah platform terbaik agar rakyat dapat menilai siapakah sebenar pembela rakyat dan siapakah sebenarnya penipu, pemfitnah dan cuba memecah-belahkan masyarakat di Pulau Pinang,” kata Syed Mikael.
Pemuda Pakatan Rakyat memberi tempoh sehingga 3 Mac untuk Umno dan DPMPP membuat keputusan sama bersetuju menyertai debat terbuka itu.
Debat itu akan menampilkan tiga pendebat mewakili Umno, Gabungan Pelajar Melayu Se-Malaysia (GPMS) dan DPMPP serta tiga wakil dari Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang.
Sementara itu Yeoh Soon Hin berkata walaupun debat ini membincangkan isu Islam dan Melayu di Pulau Pinang namun ia lebih merupakan isu berkepentingan awam.
“Kita perlu mempertahankan kebenaran dan keadilan serta menolak fitnah kerana fitnah dianggap antara 70 dosa besar dalam Islam,” kata Soon Hin.
Posted in Uncategorized
Kunjungan DPPP dan DPPNPP ke pejabat KMPP, YABLGE
Dewan Pemuda PAS Pusat meminta semua pihak mendapatkan maklumat yang tepat daripada pimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang sendiri berhubung apa sahaja isu yang berlaku di negeri ini sebelum membuat kesimpulan awal sendiri.
Ketuanya, Nasruddin Hassan berkata, kebanyakan isu berkaitan tindakan kerajaan Pulau Pinang pada waktu ini sebenarnya sengaja ditimbulkan dan direka oleh pihak tertentu untuk cuba menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan DAP negeri itu.
“Saya betul-betul mengharapkan selepas daripada ini terutamanya pihak media agar dapat memberikan laporan dan penjelasan kepada masyarakat berasaskan fakta yang benar dan tepat dengan mendengar sendiri dari pihak kerajaan Pulau Pinang,” tegasnya.
Tambahnya lagi, kerajaan pakatan rakyat Pulau Pinang seharusnya diberi peluang membuktikan keupayaan memimpin negeri itu kerana mereka dipilih secara sah pada pilihan raya umum lalu dan bukannya cuba melaga-lagakan dan memecahbelahkan mereka.
Tanggungjawab membuat perubahan, jelasnya bukan kerja mudah apatah lagi setelah sekian lama dirosakkan oleh kerajaan BN yang memerintah sebelum ini.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam.
Terdahulu, deligasi dari 13 anggota dewan harian pemuda PAS Pusat dan Pemuda PAS Pulau Pinang mengadakan pertemuan tertutup hampir dua jam bersama Lim.
Pertemuan tersebut bagi mendapat penjelasan perkara sebenar terhadap beberapa isu yang sedang diperkatakan tentang negeri ini.
“Kunjungan hormat kami hari ini bertujuan mendapat penjelasan dan maklumat ‘first hand’ dari ketua menteri selepas diasak pihak media dan pemerintah Umno BN.
“Saya kira, banyak maklumat tidak tepat dan ada orang ketiga atau pihak lain memanipulasi maklumat itu,” katanya lagi.
Dalam pertemuan itu juga, Nasruddin memklumkan beliau turut menyampaikan beberapa hasrat dan kebimbangan masyarakat Melayu negeri itu terhadap beberapa tindakan kerajaan negeri.
“Alhamdulillah jawapan diberikan ialah beliau (Lim) bersedia bertemu dengan semua NGO asalkan sahaja pertemuan itu atas maksud untuk menyelesaikan masalah dan mengatasi segala salah faham dan ketidakjelasan terhadap sesuatu isu,” tambahnya.
Berhubung dakwaan kerajaan Pulau Pinang membatalkan perarakan Maulidur Rasul tahun ini pula, perkara itu jelas Nasruddin sengaja ditimbulkan.
Ianya kerana sambutan tersebut sebenarnya hanya ditunda dan tetap akan diadakan pada 26 Februari ini.
“Pada tahun 2008, perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang, ketua menteri berada di saf hadapan dan saya kira dia (Lim) ketua menteri bukan Islam pertama menyertai maulud dalam negara kita,” katanya.
Manakala Lim dalam responsnya menyatakan kesediaan secara terbuka untuk bertemu dan membuat penjelasan kepada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati tersebut.
Sumber: Harakahdaily
Posted in Uncategorized
Sambutan Hari Kekasih Bercanggah Dengan Islam. Cegah Sebelum Parah !
Perayaan Hari Kekasih atau Valentine’s Day mula membudayai kalangan masyarakat kita khususnya di kalangan muda-mudi, sekitar akhir tahun 1980-an beriringan dengan munculnya siaran-siaran televisyen, iklan dan filem yang bertemakan perayaan ini. Perayaan ini biasanya diraikan dengan setiap pasangan memberikan hadiah kepada orang yang dikasihi. Setelah itu diadakan pesta-pesta yang diisi dengan hiburan seumpama nyanyian, tarian dan sebagainya. Kebelakangan ini, pesta perayaan Hari Kekasih dirayakan dengan pelbagai sambutan yang tidak bermoral seperti yang dilaporkan oleh media massa, mereka banyak menghabiskan malam perayaan tersebut dengan berpasang-pasangan serta bergaul bebas dan sebahagiannya diakhiri dengan pesta seks.
Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat! Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang Islam. Tidak dapat dinafikan bahawa statistik ini menunjukkan kejadian zina semakin berleluasa dan tidak dapat tidak, Hari Kekasih dilihat sebagai salah satu hari daripada hari yang digelar ‘Musim Mengawan’ kepada muda-mudi kita. Lebih-lebih lagi, apabila laporan akhbar menyatakan wujudnya kempen ‘Bare Your Loves, No Panties During Valentine’ yang menular ke IPT-IPT dan sekolah-sekolah. Walaupun pihak atau individu yang memulakan kempen ini tidak kami ketahui, kempen ini jelas mencabar ajaran Islam yang malarang umatnya mendekati zina. Maka, harus diingat, Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memutuskan bahawa “Amalan menyambut Hari Valentine’s Day adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam”. Manakala Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih diharamkan oleh agama Islam”.
Posted in Uncategorized
Selamat Tahun Baru Cina Kepada Semua Rakyat Malaysia Yang Berbangsa Cina
Al-Quran : Surah al-Hujurat (49) : 13
Posted in Uncategorized
Majlis Permuafakatan Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang
Pada 23 Januari 2010 pada jam 3.00 petang bertempat di tingkat 2 Wisma Majlis Perbandaran Seberang Prai telah berlangsung satu pertemuan yang bersejarah di antara DAPSY, AMK dan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang. YB Rayer, Amir Ghazali, Ust Yusni Md Piah mengetuai exco-exco DAPSY,AMK & DPP Pulau Pinang dlm bermusyawarah ini.
Majlis dimulakan dengan ucapan dari YB Rayer, Amir Ghazali dan Ust Yusni bagi mewakili pergerakan pemuda masing-masing. Aturcara disambung dengan ucapan untuk memperkenalkan sayap pemuda masing-masing. DAPSY diwakili oleh Setiausahanya saudara Wei Aik, AMK diwakili oleh saudara Syed Mikael, Setiausaha AMKPP manakala Dewan Pemuda PAS diwakili oleh saudara Mohd Helmi, Timbalan Ketua Pemuda Pemuda PAS Pulau Pinang.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai dari barisan exco dari ketiga-tiga sayap pemuda dan diikuti dengan sidang akhbar. Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang berharap agar majlis pada hari ini akan dapat mengeratkan lagi kerjasama di antara pemuda pakatan rakyat dan memantapkan lagi gerak kerja pada masa-masa yang akan datang.
Posted in Uncategorized
Terima Kasih Atas Kunjungan AMKPP keatas DPPNPP
Pada 19 Januari 2010 bertempat di Pongsu 1000, pihak Angkatan Muda Keadilan telah mengadakan lawatan muhibbah ke Markaz Pemuda PAS Pulau Pinang di Pongsu 1000. Rombongan dari AMK itu seramai 6 orang exco negerinya yang diketuai oleh Saudara Amir Ghazali bertujuan untuk mengeratkan silaturahim di antara AMK Pulau Pinang dan Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang (DPPN PP). Rombongan AMK tersebut telah disambut oleh 10 orang Exco DPPNPP yang diketuai oleh Ustaz Yusni Mat Piah, Ketua DPPNPP. Dalam ucapan alu-aluannya, Ustaz Yusni meraikan kedatangan AMK ke rumah atau markaz pemuda. Beliau juga berharap kedua-dua belah pihak dapat meningkatkan komitmen untuk mempertahankan Pulau Pinang di tangan Pakatan Rakyat dan seterusnya melenyapkan Barisan Nasional dari peta politik tanah air. AMK melalui setiausahanya, saudara Mikail pula mengatakan AMK sebagai adik kepada pemuda PAS dalam persada politik tanah air akan bertindak sebagai complimentary kepada pemuda PAS itu sendiri. Beliau juga telah membentangkan visi dan misi AMK Pulau Pinang dalam pertemuan tersebut. Kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk hadir dalam pertemuan dengan pihak DAPSY Penang pada 23 Januari ini.Kedua-dua belah pihak juga telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama di peringkat pemuda negeri dan pemuda kawasan dan cabang. Melalui pertemua itu juga kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk mengadakan program-program bersama pada masa-masa akan datang.
Posted in Uncategorized












